Yusri sedia lepaskan khidmat Syazwan

Oleh Staff Writer 30 Disember 2018 8686
Yusri sedia lepaskan khidmat Syazwan
Jurulatih Kuala Lumpur Yusri Che Lah, bersikap terbuka dengan penghijrahan pemain apabila mengakui tidak akan menyekat pertahanan, Syazwan Andik Ishak, untuk berhijrah ke pasukan lain walaupun masih terikat kontrak dengan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Selepas Akhyar Rashid, Syazwan pula menjadi rebutan beberapa pasukan Liga Malaysia walaupun masih mempunyai kontrak dengan skuad warga kota itu sehingga penghujung 2019.

Difahamkan, Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah antara pasukan yang sedang berusaha mendapatkan khidmat pertahanan Harimau Malaya itu bagi musim depan.

Yusri mengakui ada melakukan perbincangan dengan Syazwan mengenai perkara itu dan bekas jurulatih Kelantan ini tampak rela pemain itu dilepaskan.

"Sebagai seorang jurulatih, saya enggan menyekat hasrat pemain untuk berhijrah. Tetapi jika mahu terus kekal bersama pasukan, saya sedia menerima secara terbuka kerana kualiti yang dimiliki oleh Syazwan diperlukan pasukan Kuala Lumpur," kata Yusri.

Ini bermakna pasukan yang bakal mendapatkan khidmat Syazwan perlu membayar pampasan baki kontrak pemain itu kepada KLFA mengikut statut persatuan berkenaan.

Syazwan yang mesra disapa "Pelo" masih bercuti selepas selesai tugasan bersama skuad kebangsaan dalam kempen Piala Suzuki AFF 2018.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen