Yusoff: Tiada istilah panik dalam Harimau Malaya

Oleh Staff Writer 6 November 2019 1148
Yusoff: Tiada istilah panik dalam Harimau Malaya
Pengurus skuad bola sepak negara, Datuk Wira Yusoff Mahadi, menyangkal dakwaan pasukan kebangsaan menghadapi tekanan walaupun pasukan itu merahsiakan perlawanan ujian menentang Maldives, semalam.

Skuad Harimau Malaya diuji Maldives dalam satu perlawanan persahabatan yang diadakan secara tertutup di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi.

Malaysia menang 2-1 hasil jaringan Syahmi Safari dan Baddrol Bakhtiar, sekali gus menjadi tonik buat skuad negara menyerlahkan kemampuan sebenar menjelang dua aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, bulan ini.

Namun, tindakan merahsiakan perlawanan tampak seperti pasukan dalam keadaan cemas untuk misi wajib menang bertemu Thailand dan Indonesia.

"Sebenarnya, ini bukan satu aksi yang dirahsiakan. Cuma, mungkin untuk mengadakan aksi persahabatan dalam waktu terdekat, kebetulan Maldives ada di sini, jadi pengendali, Tan Cheng Hoe, mengambil kesempatan untuk menguji beberapa pemain baru. Bukanlah maksudnya ada tekanan sehingga terpaksa menyembunyikannya," katanya.

Dalam perlawanan menentang pasukan di ranking ke-154 dunia itu, Cheng Hoe menguji beberapa kombinasi baru.

Antara lain, pemain yang jarang beraksi sebelum ini diberi peluang untuk membuktikan keupayaan masing-masing sebelum dipilih dalam skuad akhir untuk aksi kelayakan nanti.

"Bagi saya, Cheng Hoe telah menilai beberapa kelemahan atau apa yang perlu dilakukan untuk memperkuatkan pasukan. Kami fikir tindakan memanggil Baddrol adalah satu percubaan jurulatih untuk meningkatkan kemampuan barisan tengah pasukan negara," tambah Yusoff.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen