Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengakui terkejut dengan tindakan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh, meletakkan jawatan 5 November lalu.

Yusoff yang ditemui di Phnom Penh tidak menjangka Subkhidin akan melepaskan jawatannya kerana sebelum ini, bekas pengadil FIFA itu sentiasa mempertahankan pengadil tempatan.

Yusoff yang juga pengurus skuad senior kebangsaan, mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Subkhiddin.

"Saya agak terkejut dengan tindakannya dan bertegas dengan keputusan yang telah dibuat. Saya secara peribadi kehilangan seorang bekas pengadil yang berpengalaman," katanya.

Yusoff mengakui ia merupakan satu kehilangan buat bola sepak negara dengan peletakan jawatan mengejut Subkhiddin.

Keputusan Subkhiddin melepaskan jawatannya tampak berkait rapat dengan tahap pengadilan dalam aksi final Piala Malaysia di antara Perak dan Terengganu FC (TFC), 27 Oktober lalu.

Subkhiddin turut melepaskan jawatannya sebagai exco FAM.

Apabila ditanya adakah FAM akan cuba memujuk Subkhidin untuk mengubah keputusannya, ini jawapan Yusoff, "Kami telah menerima surat peletakan jawatannya tetapi kami akan menilainya semula bersama ahli lembaga yang lain."