Yusoff: Sampai bila nak tunggu?

Oleh Nafis Abdullah 9 Mei 2020 4640
Yusoff: Sampai bila nak tunggu?
"Sampai bila nak tunggu?"

Itu reaksi Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, menegaskan badan kebangsaan itu sudah memberi tempoh yang cukup lama buat pemain tempatan sehingga pendekatan menggunakan pemain warisan terpaksa diambil.

Tiada cabaran daripada pemain tempatan membuatkan FAM terpaksa menunggu lama untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok terbaik Asia.

Jika kehadiran pemain warisan mendatangkan rasa kurang senang dalam kalangan pemain tempatan, satu sahaja penyelesaian yang perlu dilakukan, perlu bersaing merebut tempat.

Dan itu cabaran yang disuarakan oleh Yusoff.

"Kami sudah lama menunggu terutama penyokong bola sepak kebangsaan agar tahap dapat dipertingkatkan dan diperbaiki untuk beraksi di peringkat Asia. Kami harap ini permulaan baik untuk Malaysia sambil membantu lonjakan skuad. Kami juga mahu pemain tempatan perlu ubah sikap, harus berusaha keras," katanya.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri, meluahkan hasrat untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya sebelum menggantung kasut.

Meraikan sambutan hari kelahiran ke-33 pada hari ini, pemain sayap Sealngor itu mengakui faktor prestasi tidak menentu serta sering dihantui episod kecederaan membuatkannya semakin disisihkan daripada skuad negara. 

Namun, dia bertekad untuk merebut kembali tempat dalam pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe itu.

"Mungkin untuk kali terakhir sebelum habiskan karier, saya ingin menyarung jersi kebangsaan tetapi perkara ini memerlukan kerja lebih keras," katanya.

"Saya sedia pada bila-bila masa. Saya juga kini bebas kecederaan dan sedia dengan apa jua cabaran."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen