Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, dijangka akan menduduki kerusi panas presiden baru persatuan itu apabila masih tiada penambahan calon bagi merebut jawatan itu sehingga kini.

Sebelum ini, dua nama dilaporkan bersedia untuk bertanding bagi memegang jawatan tertinggi dalam FAM itu, iaitu bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Namun, sehingga kini masih belum ada penambahan borang calon presiden yang dikemukakan sambil terdapat satu borang pencalonan melibatkan Hamidin sahaja.

Timbalan Presiden FAM yang juga pemangku presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, menegaskan beliau ada bertemu dengan kedua-dua calon itu tetapi tiada sebarang keputusan tegas mampu diberikan oleh mereka.

"Saya sendiri telah menghantar borang-borang untuk menerima pencalonan ini dan kedua-dua calon ini telah saya temui tetapi mereka meminta sedikit masa memandangkan tempoh akhir adalah sehingga 14 Jun 2018 untuk menyerahkan borang itu," kata Yusof.

Bagaimanapun, sebarang pengumuman hanya akan diketahui pada 14 Jun ini dan jika hanya borang pencalonan Hamidin yang ada sehingga tarikh itu, pengumuman presiden baru akan dibuat pada tarikh yang sama.

"Jika mereka menarik diri, kami akan terus melakukan pengumuman pada 14 Jun, bermakna Datuk Hamidin akan menang tanpa bertanding. Cuma, saya masih lagi memangku jawatan presiden sehingga kongres itu nanti."

Jika dua calon itu sah bertanding, perebutan tiga penjuru bakal diadakan dalam Kongres FAM Ke-54 pada Julai depan.