Pemangku presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, menyifatkan tindakan Tan Sri Annuar Musa menarik diri daripada bertanding jawatan itu sebagai satu keputusan tepat.

Bagaimanapun, Yusoff mengesahkan badan induk itu masih menunggu surat rasmi daripada Annuar berhubung keputusan penarikan dirinya.

“Ini menunjukkan bahawa dia menghormati keputusan ahli gabungan yang telah mencalonkan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai presiden.

“Secara teknikal, kami perlu mengemas kini dan memastikan kongres yang akan berlangsung tidak lama lagi tidak akan ada pertandingan,” kata Yusoff.

Dalam masa sama, Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, pula menjelaskan pihaknya tetap menghormati keputusan Annuar walaupun mereka sebelum ini berpendapat bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu calon terbaik untuk menerajui FAM.

KLFA muncul ahli gabungan tunggal yang mencalonkan Annuar sebagai presiden FAM untuk kongres badan induk itu yang ke-54 pada 14 Julai ini.

“Itu adalah hak Annuar untuk bertanding tetapi jika disebabkan komitmen lain yang lebih penting, kami terpaksa menerima. Kami hormati tindakannya selepas ini,” ujar Nokman.