Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) tidak berganjak dengan pendirian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk sekadar menjadi Penasihat Diraja, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) walaupun mengakui pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mampu menang tanpa bertanding jika sedia dicalonkan untuk jawatan presiden.

Pengurus pasukan Melaka, Datuk Wira Yusof Mahadi, mengakui sudah menjangka cadangan itu tidak akan disukai oleh pihak tertentu, bagaimanapun, pihaknya tetap menyokong penuh asalkan ia dapat menarik penglibatan Tunku Ismail dalam FAM.

"Mana-mana negeri yang tidak setuju dengan idea Tan Sri Aseh (Che Mat) ini, proksi ini, (akan) setuju kalau TMJ jadi presiden. Buat masa sekarang ini, saya anggap kalau TMJ setuju jadi presiden, memang menang tanpa bertanding.

"Kekal dengan pendirian baginda tidak mahu bertanding jawatan presiden dan meletakkan Aseh, saya ingat jawatan presiden itu sukar untuk dielakkan," katanya.

Cadangan menampilkan Aseh sebagai presiden FAM untuk membolehkan Tunku Ismail terbabit dalam FAM, mendapat reaksi banyak pihak.

Bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, paling lantang mempertikaikannya kerana berasakan cadangan itu akan menjadikan FAM ditadbir secara proksi.

Terdahulu, Yusof menyempurnakan majlis undian kelayakan Liga Futsal Kebangsaan 2017, bermula esok hingga 23 Disember ini.

Membabitkan 10 pasukan, dua pasukan terbaik akan layak menyertai lapan pasukan dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan 2017, bermula Februari ini.

"Saya nampak satu petanda baik kepada sukan futsal ini kerana penantian itu nampaknya berhasil. Ia disebabkan beberapa pasukan baru sudah sudi mendaftarkan diri untuk terlibat dengan pertandingan futsal ini," katanya.