Yakult terus fokus perkembangan bakat muda tempatan

Oleh Farizal Yusoff 13 Oktober 2019 399
Yakult terus fokus perkembangan bakat muda tempatan
Syarikat pengeluar minuman probiotik Yakult (M) Sdn Bhd terus komited dalam pembangunan bakat muda bola sepak tempatan.

Kali ini, seramai 16 pemain bola sepak bawah 15 tahun dari Kelab Kota Bharu (KB) City berpeluang mempamerkan bakat beraksi di Jepun sempena ulang tahun ke-20 hubungan bandar Kasaoka dengan Kota Bharu.

Pengarah Urusan Yakult, Hiroshi Hamada, gembira dapat bekerjasama dengan syarikat elektronik Rohm Wako bagi merealisasikan impian pemain muda Kelantan menimba pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.

"Mereka (KB City) akan mengadakan dua aksi persahabatan menentang Kasoaka City dan Fagiano Okayama Bawah 15 di Osaka, Jepun.

"Nikmati pengalaman menarik ini, bermain dengan penuh berdisiplin dan tunjukkan kepada dunia kebolehan anda," katanya kepada pemain dalam Majlis Penyerahan Kit Pasukan di Sutera Inn Prima, Kota Bharu, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamada juga menjelaskan komitmen syarikatnya untuk membantu kelab KB City menjadi sebuah kelab yang dipenuhi bakat baru yang berkualiti selepas balik daripada mengikuti program itu nanti.

"Ya, ini sebahagian daripada komitmen kami untuk menyuburkan program pembangunan bakat mengikut cara Malaysia.

"Kami akan menyediakan bajet untuk membantu kelab ini melangkah ke depan. Mungkin kami akan jenamakan semula kelab sebagai Yakult KB City atau Yakult Rohm Wako KB  City. Kami akan berbincang selepas ini. Namun, yang pasti kami akan taja kelab ini," katanya.

Untuk rekod, skuad KB City di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Sidek Samsuddin, itu akan berada di Kasoaka City dari 18 hingga 22 Oktober ini.

 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen