Yakult KB City League cabar anak Kelantan tunjuk kemahiran timbang bola

Oleh Farizal Yusoff 18 April 2020 98
Yakult KB City League cabar anak Kelantan tunjuk kemahiran timbang bola
Selepas mendapat sambutan yang menggalakan daripada pemain dalam liga bawah 14 Tahun anjurannya, Yakult KB City League meneruskan langkah seterusnya dengan menjemput semua anak kelahiran Kelantan menyertai Cabaran Menimbang Bola untuk memenangi ganjaran wang tunai lumayan yang disediakan.

Penasihat Yakult KB City League, Mohd Zuki Deraman berkata, cabaran yang ditujukan khas kepada semua rakyat Kelantan di seluruh Malaysia bertujuan menggalakan mereka terus menjaga kecergasan semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga sebagai platform merapatkan hubungan Yakult bersama masyarakat.

“Pertandingan ini cukup mudah dan menyeronokkan. Peserta hanya perlu menimbang bola dengan menggunakan kedua-dua belah kaki (kiri dan kanan) sambil memegang dua botol Yakult yang telah dibuka penutup selama 30 saat sahaja.

“Rakam aksi itu, nyatakan jumlah timbangan dan hantar ke laman Facebook kami di alamat Yakult Kb City League. Tarikh akhir penyertaan pada 30 April 2020 ini.

“Pemenang yang bertuah akan menerima  wang tunai bernilai RM500 dan sehelai jersi Yakult Tiger manakala 10 pemenang berikutnya akan mendapat RM200 dan sehelai jersi,” tambahnya.

Mohd Zuki yang juga Presiden The Red Warriors The Red Warriors City Club (TRWCC)  berterima kasih kepada pertahanan import Kelantan dari Jepun, Masaki Watanabe dan bekas Kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi atau Piya yang sudi menyokong program ini dengan memuatnaik  video mereka menimbang bola untuk tatapan peminat.

“Ayuh, inilah masanya untuk menunjukkan kemahiran dan kekal cergas sepanjang musim PKP. Kami cabar semua anak Kelantan untuk tunjukkan bakat yang terpendam. Sebarang pertanyaan bolehlah layari Facebook kami di alamat Yakult Kb City League,” tambahnya.

Kredit Foto:  Yakult KB City League
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen