Xavi senaraikan dua individu bantunya di Barcelona 

Oleh Shaiful Shamsudin 30 Mac 2020 3471
Xavi senaraikan dua individu bantunya di Barcelona 
Xavi menamakan bekas rakan sepasukan Barcelona, ​​Carles Puyol dan Jordi Cruyff, sebagai individu yang dikehendakinya dalam pasukan, sekiranya dia berpeluang memenuhi cita-cita menjadi pengurus di Camp Nou.

Pengurus berusia 40 tahun itu memenangi piala keduanya sebagai jurulatih Al Sadd menerusi kejayaan dalam final Piala Qatar Januari lalu, sehari selepas menolak tawaran untuk mengambil alih Barcelona.

Pada masa itu, Xavi berkata, "ia terlalu awal" baginya untuk menguruskan juara LaLiga berkenaan tetapi dalam satu wawancara dengan majalah La Vanguardia, dia menjelaskan bahawa memainkan peranan sebagai pengurus Barca masih dalam rancangannya.

"Jelas sekali saya mahu kembali ke Barca," katanya. "Saya sangat teruja.

"Saya berpeluang menguruskan pasukan ketika ini, saya berasakan mampu memberi sumbangan kepada pemain.

"Tetapi saya menjelaskan kepada mereka bahawa saya melihat diri saya dalam projek yang bermula dari awal lagi dan membuat keputusan perlu terletak di tangan saya."
 
Xavi dan Puyol bersama-sama berjuang di Barcelona selama 15 tahun dengan memenangi enam gelaran LaLiga, dua gelaran Copa del Rey, tiga Liga Juara-Juara (UCL), Piala Super UEFA dan dua Piala Dunia Kelab.

Cruyff tiba di Camp Nou pada pertengahan 90-an dan Xavi berkata pengurus berusia 46 tahun, yang kini mengendalikan Ecuador, akan menjadi pilihan utama sebagai setiausaha teknikal.

"Saya ingin bekerjasama dengan orang-orang yang saya percayai, mempunyai kesetiaan dan seseorang yang boleh diharapkan," kata Xavi. "Tiada unsur toksik di bilik persalinan.

"Kita tengah bercakap tentang Carles Puyol yang merupakan kapten Barca dan Jordi Cruyff, seorang ahli perniagaan yang sangat baik dan berpengalaman luas dalam bidang setiausaha teknikal.

"Saya seorang yang bekerja sebagai sebuah pasukan. Saya tidak mahu bersendirian membuat keputusan. Sudah tentu saya boleh sepakat dengan semua orang.

"Di dalam bilik persalinan, tidak boleh ada unsur negatif, tidak ada toksik. Saya ingin memasuki dengan dikelilingi oleh orang-orang dalam persekitaran saya agar saya dapat membentuk pasukan yang baik."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen