Legenda Barcelona, Xavi, mendedahkan hasratnya untuk mengumumkan persaraan daripada bola sepak pada hujung musim ini.

Pemenang Piala Dunia 2010 itu menyertai kelab Qatar, Al Sadd, dua tahun lalu dan kini merancang untuk menyertai bidang kejurulatihan.

Pemain tengah berusia 37 tahun itu menikmati satu perjalanan karier yang hebat selepas memenangi LaLiga sebanyak lapan kali serta Liga Juara-Juara Eropah sebanyak empat kali.

Sejak mewakili Sepanyol pada tahun 2000 sehingga 2014, Xavi telah melakukan 133 penampilan dan dalam tempoh 14 tahun, dia juga pernah menjulang trofi Euro2008 dan dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan.

"Saya bertuah tidak ditimpa kecederaan dan saya rasa karier saya sudah sampai ke penghujung," kata Xavi.

"Kini saya melihat diri saya lebih penat, sukar untuk pulih dan sudah tentu ia menjadi tahun terakhir sebagai pemain bola sepak.

"Saya bercadang mendapatkan lesen kejurulatihan pada tahun depan dan menjadi jurulatih," tambahnya.

Xavi membantu Al Sadd menjulang Piala Qatar pada April lalu, menjadikannya sebagai trofi pertamanya di negara itu.