Perpindahan terbaik bagi musim 2018/19 adalah tindakan Borussia Dortmund membawa masuk Axel Witsel, kata pengendali Belgium, Roberto Martinez.

Pemain berusia 29 tahun itu menyertai skuad Bundesliga berkenaan menerusi yuran perpindahan yang dilaporkan bernilai GBP18 juta (RM98 juta) daripada kelab Liga Super China, Tianjin Quanjian.

Dia melakukan 10 penampilan dalam semua kejohanan musim ini, dengan memainkan peranan utama dalam kebangkitan Dortmund di pentas liga.

Situasi itu membuatkan Martinez percaya yuran rendah sewaktu mendapatkan pemain skuad kebangsaan Belgium itu menyebabkannya menjadi satu pembelian yang menarik.

"Perpindahan terbaik dunia musim ini adalah Axel Witsel ke Borussia Dortmund," kata Martinez.

"Dia adalah pelaburan terbaik dalam bola sepak Eropah. Apa yang ditawarkan menerusi yuran yang hanya berjumlah GBP18 juta membuatkannya menjadi pembelian terbaik.

"Dortmund layak menerima penghargaan kerana mendapatkan Witsel. Dia tidak menjadi perhatian ketika berada di China tetapi saya tahu dia mampu mengatasinya."

Witsel beraksi selama 90 minit ketika Belgium diikat 1-1 oleh Belanda dalam aksi persahabatan Selasa lalu dan berharap dapat turun dalam saingan Bundesliga bersama Dortmund berdepan Stuttgart, Sabtu ini.