REAL VALLADOLID 0 REAL MADRID 1

Sekalipun dihimpit krisis kecederaan, Real Madrid tetap ampuh mengalahkan Valladolid hasil tandukan Casemiro dalam separuh masa kedua untuk kemenangan LaLiga keempat berturut-turut selain tiga kemenangan terakhir dengan rekod bersih.


Los Blancos jelas pincang tanpa penggempur utama, Karim Benzema -- akibat kecederaan ringan -- apabila hanya mampu melancarkan dua percubaan tepat di Estadio Jose Zorrilla.

Madrid kini tiga mata menghambat pendahulu, Atletico Madrid, yang keciciran mata dalam tiga daripada empat perlawanan terakhir tetapi masih mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Pasukan bimbingan Zinedine Zidane itu akan ke Stadium Wanda Metropolitano pada 7 Mac depan dan pengurus dari Perancis berkenaan menggesa anak buahnya agar terus mengutip mata.

"Saya tidak perlu menyampaikan sebarang pesan (terhadap kejayaan ini). Ia adalah satu kemenangan penting. Ini adalah kemenangan keempat dan kami perlu meneruskan perjuangan ini," katanya.

"Anda harus gembira dengan perlawanan ini; keputusannya selain tidak dibolosi.

"Kami berada pada saat yang baik dan mula menemui ketekalan menerusi keputusan yang diraih, Seluruh pasukan bertahan dengan sangat baik. Dengan penguasaan bola, kami dapat melakukan sesuatu.

"Kami tiba di sini dengan baik jadi kami perlu berehat dengan baik. Kami akan melakukan persiapan rapi untuk menghadapi perlawanan pada Khamis ini (bertemu Atalanta dalam Liga Juara-Juara) dengan prestasi terbaik."

Casemiro melepaskan dua peluang berharga sebelum merobek gawang Valladolid untuk gol ketiganya musim ini namun dia ingin berkongsi tumpuan yang diberikan dengan Toni Kroos.




Pemain Jerman itu mencipta empat peluang dan melakukan sentuhan terbanyak (83) selain melengkapkan hantaran (73) dalam perlawanan berkenaan berbanding mana-mana pemain.

Justeru, wira perlawanan itu membangkitkan sumbangan Kross yang telah menghasilkan lima bantuan jaringan dalam lima penampilan terakhirnya.

"Saya perlu berada di kedudukan tepat untuk menyudahkannya. Tetapi kredit harus diberikan kepada Toni yang acap menjelmakan hantaran menarik," katanya kepada Movistar.

"Saya mempunyai peluang jadi saya mengambil kesempatan yang kali ketiga.

"Kami masih percaya kami mampu mempertahankan gelaran LaLiga. Semua perlawanan adalah penting. Masih ada 42 mata untuk direbut. Banyak mata yang tersisa dan kami perlu yakin kepada diri sendiri."

Gol Casemiro itu adalah yang keempat dalam LaLiga -- lebih tinggi daripada pemain tengah lain dalam lima liga utama Eropah.

Namun, Madrid mungkin di ambang kekalahan mengejut jika bukan kerana ketangkasan Thibaut Courtois.

Penjaga gol Belgium itu mematahkan tiga percubaan lawan ketika kedudukan masih lagi seimbang.

"Kami tahu setiap tonggak adalah penting," kata Casemiro.

"Courtois dengan aksi menyelamatkannya - saya tidak terkejut, dia sering melakukannya.

"Ini adalah satu jaringan yang baik bagi saya. Tetapi kami tidak boleh hanya bercakap tentang seorang pemain sahaja hari ini. Kemenangan ini adalah milik semua pemain."