Windsor: Fahami dahulu mekanisme bidaan penganjuran

Oleh Staff Writer 25 Jun 2019 368
Windsor: Fahami dahulu mekanisme bidaan penganjuran
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, membayangkan peluang negara-negara ASEAN untuk menganjurkan Piala Dunia 2034 agak tipis disebabkan mekanisme dan polisi yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Negara-negara anggota ASEAN mencetus sensasi apabila bersetuju untuk membangunkan satu usaha sama bagi membida hak tuan rumah Piala Dunia 2034.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, percaya ia mampu direalisasikan selepas lima negara ASEAN membangkitkan idea berkenaan ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 minggu lalu, namun usaha itu dinyatakan ketika China sudah mengumumkan hasrat untuk menjadi hos Piala Dunia 2030.

Tidak relevan untuk benua Asia sekali lagi menganjurkan kejohanan berprestij itu bagi edisi berikutnya berdasarkan polisi penggiliran tuan rumah Piala Dunia yang ditetapkan oleh FIFA.

"Melahirkan minat dan ingin menganjurkan Piala Dunia, itu memang satu hasrat yang baik tetapi perlu faham mekanisme atau bagaimana pemilihan dan slot dibuat. Kemudian, adakah negara lain yang lebih kuat berbanding ASEAN? Jadi, kita perlu faham konteks, itu penting," katanya.

Justeru, Windsor menyarankan negara anggota ASEAN yang terbabit mengkaji semula hasrat mereka kerana usaha itu juga dijangka mengundang konflik bagi slot automatik selaku tuan rumah.

"Slot tuan rumah lebih daripada satu akan diambil daripada keseluruhan yang ada. Kalau edisi 2026 kami raih 8.5 slot pasukan, kemudian jika 5 slot diambil daripadanya, adakah baki 3.5 itu akan dipersetujui?"

Apa pun, ketika ini AFC masih belum menerima sebarang kertas cadangan atau dimaklumkan secara rasmi mengenai hasrat negara-negara ASEAN berkenaan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen