Jack Wilshere telah dipanggil semula menyertai skuad England untuk aksi kelayakan Piala Dunia berdepan Scotland dan perlawanan persahabatan bertemu Sepanyol.

Pemain tengah Arsenal itu membuat pilihan untuk dipinjamkan ke Bournemouth bagi mengembalikan tahap kecergasannya dan akhirnya dipilih untuk menyarung jersi The Three Lions.

Wilshere, yang telah membuat tujuh penampilan Liga Perdana sejak menyertai skuad kendalian Eddie Howe, berjaya menarik perhatian pengurus sementara, Gareth Southgate, untuk menyenaraikannya dalam skuad 23 pemain.

Harry Kane, yang menjaringkan sepakan penalti ketika Tottenham seri 1-1 dengan Arsenal pada Ahad, juga akan dipanggil semula selepas pulih daripada kecederaan.

Masalah kecergasan menyaksikan Adam Lallana, Raheem Sterling dan Nathaniel Clyne terlepas aksi bertemu Malta dan Slovenia tetapi trio itu kembali cergas sepenuhnya.

"Buat beberapa minggu ini, kami telah melihat sebanyak perlawanan yang mungkin dan menilai pemain-pemain dengan teliti," kata Southgate.

"Terdapat beberapa pemain yang tidak beraksi akibat masalah kecederaan kini sudah bersedia untuk bermain -- kami sangat gembira Clyne, Lallana dan Sterling sudah bersedia untuk beraksi.

"Begitu juga dengan Kane. Kami telah berbincang dengan banyak kelab untuk beberapa minggu ini, dan Tottenham sangat membantu untuk memastikan Kane kembali pulih.

"Pada pendapat saya, Jack Wilshere adalah seorang pemain yang berkualiti dan dia telah membuktikan mampu beraksi selama 90 minit."

Skuad penuh England:

Penjaga gol: Fraser Forster (Southampton), Joe Hart (Torino, dipinjam dari Manchester City), Tom Heaton (Burnley).

Pertahanan: Ryan Bertrand (Southampton), Gary Cahill (Chelsea), Nathaniel Clyne (Liverpool), Phil Jagielka (Everton), Danny Rose (Tottenham), John Stones (Manchester City), Kyle Walker (Tottenham).

Tengah: Eric Dier (Tottenham), Danny Drinkwater (Leicester City), Jordan Henderson (Liverpool), Adam Lallana (Liverpool), Jesse Lingard (Manchester United), Raheem Sterling (Manchester City), Theo Walcott (Arsenal), Jack Wilshere (Bournemouth, dipinjamkan daripada Arsenal)

Penyerang: Harry Kane (Tottenham), Wayne Rooney (Manchester United), Marcus Rashford (Manchester United), Daniel Sturridge (Liverpool), Jamie Vardy (Leicester City).