ARSENAL 6 BATE 0

Jack Wilshere lega selepas menjaringkan gol pertamanya untuk Arsenal dalam tempoh dua setengah tahun dalam kemenangan 6-0 ke atas BATE dalam perlawanan Liga Europadi London, awal pagi tadi.


Pemain berusia 25 tahun itu cuba meningkatkan peluangnya dalam pasukan utama menerusi prestasi berpengaruh di bahagian tengah serta menjaringkan gol ketiga perlawanan selain membuat umpanan untuk gol keenam yang disumbat Mohamed Elneny.

Keputusan perlawanan itu tidak mengubah kedudukan Arsenal sebagai juara Kumpulan H, namun ia menyingkirkan BATE dalam saingan ini.

Ditanya sama ada golnya membawa kelegaan, Wilshere memberitahu BT Sport: "Sedikit. Adalah penting untuk kami menikmatinya. Ia salah satu daripada perlawanan yang menuntut tumpuan tinggi untuk melakukannya.

"Kami mengharungi peringkat kumpulan dengan baik pada tahun ini, kami gembira akan ke pusingan seterusnya dan berharap dapat mencetak lebih banyak gol dan gembira beraksi."