Wijnaldum enggan bandingkan Belanda dengan Perancis, Jerman

Oleh Penulis Jemputan 14 Oktober 2018 39
Wijnaldum enggan bandingkan Belanda dengan Perancis, Jerman
Pemain tengah Belanda, Georginio Wijnaldum, tidak berminat membandingkan pasukannya selepas merakamkan kemenangan bergaya ke atas Jerman, awal pagi tadi.

Virgil van Dijk, Memphis Depay dan Wijnaldum meledak gol ketika skuad kendalian Ronald Koeman itu meraih kemenangan 3-0 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA di Amsterdam.

Ia merupakan kali pertama Belanda meraih kemenangan dengan tiga jaringan atau lebih ke atas Jerman.

Wijnaldum, bagaimanapun, enggan membuat perbandingan mengenai pasukannya -- yang gagal mara ke Euro 2016 dan Piala Dunia 2018 -- dengan pasukan seperti Jerman dan Perancis.

"Saya tidak tahu kami berada pada tahap yang mana. Kami tidak seharusnya melihat kepada pasukan lain," katanya.

"Kami memberikan tumpuan untuk aksi seterusnya. Kami akan cuba memberikan yang terbaik."

Steven Bergwijn, Denzel Dumfries dan Arnaut Groeneveld melakukan penampilan sulung bersama Oranje.

Wijnaldum memuji persembahan yang ditampilkan trio tersebut dan menganggap mereka sudah bersedia untuk saingan antarabangsa.

"Ekoran kecederaan, kami perlu menurunkan beberapa pemain muda. Mereka beraksi dengan cemerlang.

"Mereka mempamerkan keberanian dan membuktikan mampu beraksi untuk Belanda," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen