Georginio Wijnaldum memberikan pandangan unik mengenai kaedah pengurusan "istimewa" Jurgen Klopp apabila mendedahkan cara unik pengurus Liverpool itu ketika memberi kata-kata perangsang sebelum sepak mula final Liga Juara-Juara (UCL) 2018 dengan memakai seluar daripada jenama Cristiano Ronaldo.

Pengurus The Reds itu mengukir reputasi sebagai seorang periang dan pemain tengah, Wijnaldum, mendedahkan sebelum sepak mula menentang Real Madrid -- yang menyaksikan Ronaldo menjadi ancaman utama -- dia tampil dengan gaya sendiri untuk meredakan ketegangan dalam kalangan pasukan itu.

"Kami melihatnya memakai seluar dalam daripada jenama Cristiano Ronaldo," kata pemain tengah Belanda itu kepada The Athletic.

"Dia muncul dalam sesi itu dengan bajunya disumbat ke dalam seluar dalam jenama 'CR7'. Ia menyebabkan mereka yang ada di bilik persalinan ketika itu pecah perut. Dia meredakan ketegangan kami tatkala semua orang dalam keadaan serius dan menumpukan perhatian. Bagaimanapun beliau tenang sambil membuat lawak sebegini.

"Dia sering melakukan jenaka-jenaka seperti itu. Jika anda melihat pengurus anda dalam keyakinan tinggi dan santai, ia akan memberi kesan kepada pemain. Dia menjadi tokoh seorang bapa kepada pemain. Dengan seloroh dan bahasa badannya, dia meredakan tekanan pemain."

Bagaimanapun, Liverpool tewas 1-3 dalam perlawanan itu sebelum mereka mengubah nasib itu pada musim berikutnya dengan mengalahkan Tottenham 2-0 untuk meraih kejayaan keenam dalam saingan utama Eropah itu.

Kejayaan itu mengukuhkan status Klopp sebagai salah seorang pengurus terkemuka dunia dan Wijnaldum menyanjungi gaya pengurusan pengurus berbangsa Jerman tersebut.

Wijnaldum berkata: "Dia berusaha untuk memahami keadaan orang lain dengan berasakan apa yang mereka alami. Dia adalah seorang pengurus yang amat istimewa buat saya. Saya melihatnya lebih daripada sekadar seorang pengurus -- seorang rakan yang amat baik sekali."

Tambahnya: "Dia adalah pengurus yang akan marah dengan perkara-perkara dalam permainan atau akan menunjukkan emosinnya ketika perlawanan. Tetapi apabila sampai waktu rehat, dia akan bercakap dengan anda dan meniupkan keyakinan kepada anda dengan mengatakan 'anda boleh melakukannya dengan lebih baik lagi. Anda perlu melakukan ini, harus berbuat demikian... '

"Dia merupakan salah seorang pengurus pertama saya yang tidak akan marah apabila anda cuba melakukan perkara-perkara yang anda mampu. Dia tidak akan marah apabila anda cuba menonjolkan bakat atau kualiti walaupun ia tidak menjadi.

"Sejak berada di Liverpool, dia telah banyak membantu saya. Bukan hanya dalam bola sepak, malah cara anda berfikir.

"Sebab itulah setiap hari saya menikmati suasana kerja dengannya. Saya mungkin akan hilang kesabaran pada hari tertentu tetapi keesokan harinya, kemarahan itu lenyap dan kami akan kembali mesra."