BELANDA 5 ESTONIA 0

Ronald Koeman berkata Georginio Wijnaldum "amat gembira dengan skuad kebangsaan Belanda" selepas menewaskan Estonia 5-0 di Amsterdam awal pagi tadi tanpa sebarang isu perkauman seperti yang melanda liga di negara itu dua hari lalu.


Pemain sayap Excelsior, Ahmad Mendes Moreira, menjadi sasaran ejekan perkauman ketika pasukannya terikat 3-3 dengan Den Bosch dalam Eerste Divisie dan ia mendorong Wijnaldum untuk bersuara mengenai isu perkauman dalam bola sepak menjelang perlawanan terakhir pusingan kelayakan Euro 2020 di Arena Johan Cruijf itu.

Wjinaldum merupakan bintang paling menyinar dalam perlawanan itu dengan menjaringkan gol pembukaan sebelum menambah dua lagi jaringan manakala Nathan Ake dan Myron Boadu turut berada dalam senarai penjaring.

Ketua jurulatih, Koeman, lega apabila dapat melihat semangat juang tinggi yang dipaparkan penyerang itu selain tiga gol yang dihasilkannya.

"Gini baru sahaja meluahkan perasaannya dalam bilik persalinan ketika sesi perbincangan kami sebentar tadi.

"Dia kata dia amat gembira dengan pasukan Belanda ini di mana tiada masalah (perkauman) seperti itu.

"Kami satu pasukan dan amat baik untuk melihatnya," katanya.

Koeman melakukan tujuh perubahan berbanding ketika pasukannya terikat 0-0 dengan Ireland Utara tiga hari lalu tetapi masih dapat melihat prestasi pemainnya yang amat bersatu dan berkeyakinan.

Ketika Ake, Wijnaldum, Frenkie de Jong dan Matthijs de Ligt amat menyerlah dalam perlawanan menentang Estonia itu, Koeman hanya akan memuktamadkan senarai akhir pemainnya selepas dua perlawanan persahabatan yang dirancang Mac depan.

"Amat pelik jika kami dapat menentukannya sehari selepas menewaskan Estonia. Kami masih ada enam bulan.

"Kami mempunyai ramai pemain muda yang akan tiba pada pertengahan tahun depan.

"Ia akan menjadi pemilihan yang amat sengit.

"Kami akan menggunakan bulan Mac untuk berbincang mengenai pemilihan ini.

"Saya akan menggunakan ramai pemain untuk menguji mereka.

"Kami akan mengadakan dua perlawanan antarabangsa dengan memilih hari Khamis dan Ahad.

"Kami tidak akan menggunakan dua pasukan yang sama," tambahnya.