Jurgen Klopp mengesahkan pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum, mengalami kecederaan buku lali sewaktu pasukannya menundukkan Maribor 3-0 dalam aksi Kumpulan E, Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Wijnaldum terpaksa dibawa keluar selepas beraksi selama 15 minit di Anfield akibat perlanggaran ketika cuba mendapatkan bola, memaksa Klopp menggantikannya dengan kapten pasukan, Jordan Henderson.

Liverpool kini selesa di tangga teratas Kumpulan E selepas jaringan daripada Mohamed Salah, Emre Can dan Daniel Sturridge membolehkan mereka meraih kemenangan kedua musim ini walaupun James Milner gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika lapan minit babak kedua bersambung.

Bagaimanapun, kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga tinggi oleh Klopp apabila Wijnaldum menyertai Philippe Coutinho dalam senarai kecederaan.

"Setakat ini, masih belum ada sesiapa yang memberitahu saya tentangnya. Ketika waktu rehat, saya terus bertanya dan diberitahu bahawa buku lalinya telah bengkak. Ia bukan petanda baik.

"Kami menyaksikan satu sepakan ketika dalam perlawanan tetapi tidak berasakan ia serius. Sama ada terkehel atau tidak, itu tidak pasti. Kami harus menunggu keputusan imbasan," ujar Klopp.

Coutinho terlepas aksi menentang Maribor dan Klopp juga tidak menjangkakannya untuk melakukan penampilan apabila menentang West Ham pada Sabtu ini walaupun Dejan Lovren mungkin kembali beraksi.

"Saya hanya boleh katakan ia semakin hampir.

"Ia berbeza dengan Lovren. Saya tidak rasa Coutinho boleh beraksi tetapi kita akan tahu nanti mengenai Lovren," tambahnya.