Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RB Leipzig, Oliver Mintzlaff, mendedahkan dia tidak menerima sebarang panggilan daripada Liverpool atau Bayern Munich berkenaan Timo Werner.

Werner dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool dan Bayern selepas meledakkan 27 gol daripada 36 perlawanan bagi semua kejohanan musim ini.

Penggempur itu masih memiliki kontrak sehingga penghujung musim 2022-23 dan Mintzlaff melihat Leipzig sebagai destinasi terbaik untuk Werner meneruskan perkembangannya.

"Jurgen Klopp atau Karl-Heinz Rummenigge tidak menghubungi saya," katanya.

"Kami gembira kerana mampu melanjutkan kontraknya sehingga 2023. Dia beraksi dengan cemerlang dalam babak pertama musim ini.

"Kami juga percaya Leipzig masih pentas terbaik untuk Werner berkembang sebagai pemain Jerman."