Bintang RB Leipzig, Timo Werner, amat sesuai di kelab seperti Liverpool, kata bekas jurulatihnya, Ralf Rangnick.

Werner, 24, terus dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu selepas menjaringkan 27 gol daripada 36 penampilan buat Leipzig musim ini.

Rangnick, yang merupakan bekas jurulatih Leipzig dan kini bertindak sebagai ketua bahagian sukan dan pembangunan di Red Bull, mahu Wener kekal tetapi berasakan Liverpool merupakan pasukan yang sesuai buat penyerang itu.

"Liganya kurang penting tetapi pasukannya, daripada segi pandangan hipotesis semata-mata, saya lebih mahu menyaksikannya bersama kelab yang tidak bergantung kepada penguasaan bola," katanya kepada BILD.

"Sejak Timo menunjukkan perkembangannya di bawah Julian Nagelsmann, senjata utamanya adalah perubahan pergerakan yang pantas dan penyudah padunya.

"Dengan itu, dia akan lebih sesuai dengan kelab seperti Liverpool, yang sama seperti corak permainan kami tetapi saya lebih memilih unttuk dia kekal di sini," katanya.

Werner menikmati empat musim yang kukuh bersama Leipzig di mana dia menjaringkan 88 gol daripada 150 perlawanan sejak menyertai kelab itu daripada Stuttgart pada 2016.

Rangnick berkata pemain kebangsaan Jerman itu perlu menentukan masa depannya.

"Pada akhirnya, ia terpulang kepada Timo untuk menentukan apa yang mahu dilakukannya.

"Di Leipzig, dia tahu apa yang dia ada.

"Dia boleh bermain lagi dalam Liga Juara-Juara Eropah tahun depan.

"Dan Timo juga merupakan seseorang yang memerlukan kepercayaan.

"Dia hanya akan memperolehnya jika jurulatih mengenal dan bergantung kepadanya," tambahnya.