Bintang RB Leipzig, Timo Werner, akan menyertai pasukan apabila turun beraksi menentang Borussia Dortmund selepas pulih daripada kecederaan sebelum ini dan ia disahkan oleh pengendali pasukan, Ralph Hasenhuttl.

Penyerang muda itu dikeluarkan selepas 32 minit beraksi ketika Leipzig tewas di tangan Besiktas dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), 26 September lalu, selepas dilihat bergelut dengan bunyi bising daripada penyokong lawan.

Hasenhuttl kemudian mendedahkan bahawa Werner mengalami masalah pernafasan sehingga menyebabkan sekatan pada salurannya.

Akibat kecederaan itu, Werner terlepas peluang untuk beraksi buat skuad kebangsaan Jerman ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2018 baru-baru ini, namun Leipzig menerima perkhabaran gembira menjelang perlawanan yang sifatkan antara aksi paling getir musim ini.

“Werner turun berlatih semalam, malah menanduk bola dan masalahnya semakin bertambah baik.

“Kami harus melihat sama ada dia bersedia daripada segi fizikal tetapi apa yang boleh saya jamin, dia akan bersama pasukan,” kata Hasenhuttl.

Dalam masa sama, Leipzig juga berjaya memperbaharui kontrak ketua pasukan, Willi Orban, sekaligus menyaksikannya akan kekal bersama pasukan sehingga tahun 2022 selepas bersetuju dengan kontrak baru selama tiga tahun.

“Saya amat gembira kami berjaya meraih persetujuan dengan kontrak baru.

“Perpindahan dari Kaiserslautern ke Leipzig pada 2015 adalah sesuatu yang hebat. Pengarah kelab, Ralf Rangnick, meyakinkan saya pada waktu itu dan kini segala-galanya menjadi realiti,” ujar Orban.