Pengendali Jerman, Joachim Low, berkata Timo Werner cergas sepenuhnya untuk aksi Liga Negara-Negara berdepan Switzerland awal pagi esok.

Penyerang Chelsea, Werner, terlepas aksi seri 3-3 dengan Turki Rabu lalu selepas mengalami masalah kesihatan namun hadir sebagai pemain gantian ketika 10 minit terakhir aksi Liga Negara-Negara ketika menang 2-1 ke atas Ukraine.

Di kala Werner menyasarkan penampilan ke-33 di peringkat antarabangsa, Low menjelaskan tiada kebimbangan terhadap tahap kecergasan Julian Draxler, Lukas Klostermann dan Marcel Halstenberg.

"Timo Werner kembali ke tahap terbaik dan tidak menunjukkan sebarang kelemahan," katanya. "Dia sedia untuk diturunkan.

"Namun kami memiliki beberapa tanda soal. Draxler mengalami masalah buku lali, Halstenberg pula dengan kecederaan pangkal paha dan Klostermann dengan masalah lutut."


Low dikritik apabila dikatakan taktikal kini kurang menjadi bersama Jerman, paling ketara oleh pemenang Piala Dunia 1990, Lothar Matthaus, yang menyatakan Jerman memerlukan mentaliti yang berbeza.

Low menolak sebarang ulasan dan menjangkakan penampilan yang bertenaga daripada pasukannya.

"Terdapat banyak pandangan dalam bola sepak," katanya. "Apa yang diulas adalah luahan mereka. Apa yang penting adalah kami sentiasa menilai secara dalaman.

"Saya menjangkakan tumpuan, lebih tepat dan berani ketika melancarkan serangan. Ia akan menjadi perlawanan yang berbeza berbanding sebelum ini dan Switzerland pasukan yang mampu bertahan dengan baik."