Penyerang RB Leipzig, Timo Werner, lebih cenderung beralih angin ke luar negara berbanding menyertai gergasi Bundesliga, Bayern Munich.

Werner mengikat kontrak sehingga 2023 tetapi semakin hangat dikaitkan dengan Bayern dan ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain antarabangsa Jerman itu merakamkan 27 gol selain mencipta 11 bantuan jaringan dalam 36 penampilan musim ini termasuk membawa skuad kendalian Julian Nagelsmann tersebut ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) sebelum krisis koronavirus baru (Covid-19) menangguhkan kempen 2019-20.


Biarpun Werner menghormati Bayern dan pengurus mereka, Hansi Flick, tetapi peluang untuk beraksi di liga asing lebih mengujakannya.

"Bayern merupakan kelab yang hebat, kami tidak perlu mempertikaikannya dan musim ini Hansi Flick telah membuktikan bahawa dia adalah pengurus yang sangat bagus," kata penggempur itu kepada Bild.

"Namun, jika perpindahan menjadi isu pada masa akan datang, maka saya akan lebih tertarik untuk berhijrah ke luar negara berbanding ke Bayern.

"Cabaran dalam kancah berbeza lebih mengujakan saya daripada hanya berubah angin dalam Bundesliga.

"Adalah penting juga untuk kami saling menghormati. Itulah sebabnya saya memilih RB Leipzig dan ia akan menjadi faktor ketika saya memilih kelab seterusnya kerana saya ingin menikmati perasaan seperti itu."

Pemain berusia 24 tahun itu, yang memasuki tahun terakhir kontraknya musim ini dijangka akan berpindah ke Bayern, tetapi ia tidak berlaku apabila dia melanjutkan perjanjiannya di Arena Red Bull selama tiga tahun lagi, Ogos tahun lalu.

"Saya tidak dapat menjawab apa yang mendorong Bayern minat ketika itu," katanya.

"Saya gembira dan berpuas hati kerana saya dapat memanjangkan kontrak di sini dan beraksi bersama Leipzig musim ini.

"Di mata saya, saya telah berkembang pesat di bawah asuhan Julian Nagelsmann dan menjadi matang daripada segi keperibadian selain memikul lebih banyak tanggungjawab.

"Untuk itu, saya sangat berterima kasih. Saya amat menghargai apa yang saya peroleh di RB Leipzig jadi saya sama sekali tidak akan meluahkan, 'Saya harus keluar dari sini!'"