Werner kecewa Jerman gagal lunas peluang

Oleh Penulis Jemputan 14 Oktober 2018 259
Werner kecewa Jerman gagal lunas peluang
Timo Werner kecewa dengan kegagalan Jerman melunas peluang ketika tewas 3-0 kepada Belanda dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA, awal pagi tadi.

Jerman tidak pernah tewas dengan tiga jaringan atau lebih tetapi skuad kendalian Ronald Koeman itu merakamkan kemenangan bergaya di Amsterdam menerusi jaringan Virgil van Dijk, Memphis Depay dan Georginio Wijnaldum.

Selepas tersingkir dalam peringkat kumpulan Piala Dunia, skuad bimbingan Joachim Low itu gagal mencetak sebarang jaringan dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA selepas seri 0-0 dengan Perancis dalam aksi pembukaan.

Mereka memiliki peluang untuk menamatkan kemarau tersebut di Amsterdam, dengan Werner membazirkan peluang satu lawan satu dan ketumpulan jentera serangan Die Mannschaft menjadi kebimbangan.

"Kami bermula dengan baik, menghasilkan banyak peluang dan mengawal permainan," kata Werner.

"Kemudian Belanda mendahului menerusi jaringan Van Dijk dan ia mengubah rentak permainan hingga kami gagal mencipta jaringan."

Low mengakui kegagalan pasukannya mencipta jaringan membuatkan dirinya bingung.

"Ia bukan hanya soal gagal mencipta peluang," katanya.

"Jerman bermain dengan baik hingga Belanda membuka jaringan, ia telah membuatkan pasukan hilang keyakinan.

"Tewas dengan 1-0 masih boleh diterima, tetapi pada 10 minit terakhir, pasukan gagal bersaing dan bolos dengan dua lagi jaringan."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen