Penyerang RB Leipzig, Timo Werner, memberi bayangan untuk menyertai Bayern Munich bagi musim 2019/20.

Penggempur utama Jerman itu tampak tidak memberi impak besar dalam pertemuan kedua-dua pasukan awal pagi tadi di mana Franck Ribery menyumbat gol tunggal perlawanan.

Kemenangan 1-0 itu membolehkan Bayern merapatkan jurang kepada enam mata dengan pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund, serta lima mata mengatasi pasukan tangga keempat, Leipzig.

Wujud laporan Werner kini sedang berusaha menyelesaikan urusan perpindahan ke Bayern tatkala media Jerman, Bild, melaporkan juara bertahan Bundesliga itu melihat pemain berusia 22 tahun itu sebagai calon terbaik berdasarkan perkembangannya musim lalu.

Dan Werner kini tampil memberi bayangan bakal menyertai Bayern.

"Saya melalui dua tahun enam bulan di Leipzig, jadi mereka tetap keutamaan," kata Leipzig.

"Terdapat pasukan lain yang menarik perhatian. Jika anda di Jerman dan mahu terus bermain di sini, hanya satu kelab yang menjadi persoalan."

Werner menyumbat 10 gol dan dua bantuan jaringan dalam Bundesliga musim ini, menyamai catatan gol yang dilakukan oleh penjaring terbanyak daripada Bayern, Robert Lewandowski.

Pengendali Bayern, Niko Kovac, turut memuji kelibat penyerang itu dalam aksi awal pagi tadi tetapi tidak mahu mengulas lanjut tentang urusan perpindahan.

"Werner adalah pemain hebat dengan teknik yang mantap," ujar Kovac.

"Apa yang berlaku ketika musim sejuk atau panas, biarkan sahaja."

Kontrak Werner bersama Leipzig bakal tamat pada 2020, sekali gus memberikan pilihan untuknya sama ada menandatangani kontrak baru pada musim sejuk atau musim panas 2019.