Arsene Wenger yakin Barcelona akan mendapatkan penggempur lain walaupun menjangkakan peningkatan akan dipamerkan Antoine Griezmann.

Griezmann bergelut dengan prestasi dalam musim pertamanya di Barca, meledakkan 14 gol dalam 37 perlawanan sejak tiba daripada Atletico Madrid dengan harga EUR120 juta (RM579 juta).

Barca giat dikaitkan dengan perpindahan buat bintang Inter, Lautaro Martinez, untuk menjadi pengganti jangka panjang buat Luis Suarez.

Bekas pengurus Arsenal, Wenger, percaya Griezmann akan meningkat tetapi berasa Barca akan mendapat penggempur lain apabila kempen 2019-20 tamat.

"Barca sentiasa mendapatkan pemain hebat. Sejujurnya, saya tidak pasti jika Suarez perlu digantikan," katanya.

"Mereka mahu menambah penyerang kerana Suarez dan Lionel Messi adalah penyumbang utama, jadi mereka mungkin perlu seseorang yang boleh jaringkan gol.

"Saya fikir Griezmann akan dapat ledakkan gol, dia masih belum sesuaikan diri tetapi mungkin selepas ini dia dapat menemui semula sentuhan.

"Namun, saya yakin mereka akan tetap mendapatkan penyerang lain."

Tatkala Messi meledakkan 24 gol musim ini, Suarez mencatat jumlah sama seperti Griezmann meskipun beraksi kurang 14 perlawanan.

Barca kini menduduki puncak LaLiga dengan kelebihan dua mata dan bakal menyambung saingan LaLiga menentang Mallorca, esok.