Arsene Wenger akan berbincang dengan Bayern Munich jika mereka berminat untuk melantiknya selaku ketua jurulatih walaupun dia menegaskan masih belum menerima sebarang panggilan daripada kelab Jerman itu.

Bayern kini mencari pengurus baru selepas pemecatan Niko Kovac sambil Hansi Flick mengemudi pasukan meraih kemenangan 2-0 ke atas Olympiacos dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Wenger -- yang masih bebas sejak meninggalkan Arsenal pada 2018 -- muncul salah seorang calon untuk posisi itu sambil wujud laporan dia bakal dilantik sehingga penghujung musim ini.

Bercakap ketika menjadi tetamu beIN SPORTS, bekas pengurus berusia 70 tahun itu mendedahkan dia hampir menerima jawatan itu suatu masa dahulu dan tidak menolak akan menerima tawaran sama, kali ini.

"Saya tidak pernah menolak untuk berbincang dengan Bayern kerana saya mengenali pihak yang mengetuai kelab itu selama 30 tahun," katanya.

"Lama dahulu, saya hampir ke Bayern. Ketika ini, itu sahaja boleh saya katakan tetapi sehingga kini saya masih belum berbincang dengan mereka."

Ditanya jika perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat, Wenger menjawab: "Saya tidak tahu. Kami belum berbincang dan saya tidak tahu."

"Saya hanya mahu meneruskan apa yang dilakukan sekarang. Saya belum buat keputusan sama ada akan kembali bergelar pengurus atau tidak. Saya gembira dengan apa yang dilakukan hari ini tetapi tetap rindukan padang.

"Ketika ini, ia keputusan sukar buat kami. Saya akan buat keputusan dalam tempoh beberapa hari atau minggu."

Wenger pernah mengendalikan pasukan di Perancis bersama Nancy dan Monaco sebelum ke Jepun mengendalikan Nagoya Grampus. Kemudian, dia menghabiskan tempoh 22 tahun di Arsenal sejak 1996.

Pengendali dari Perancis itu memenangi tiga kejuaraan liga, menikmati perseteruan dengan legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson, tetapi bergelut untuk mengulangi kejayaannya sejak kelab itu berhijrah ke Stadium Emirates.

Wenger mengucapkan selamat tinggal pada penghujung musim 2017-18 untuk digantikan oleh Unai Emery.