ARSENAL 2 READING 0

Arsene Wenger percaya kerja keras Alex Oxlade-Chamberlain dalam sesi latihan membuahkan hasil selepas meledak dua gol ketika menewaskan Reading 2-0 dalam aksi Piala EFL.


Pemain sayap itu mempamerkan aksi berkualiti di Stadium Emirates untuk membantu Arsenal mara ke pusingan suku akhir pertandingan yang tidak pernah dimenangi oleh Wenger.

Bercakap mengenai persembahan Oxlade-Chamberlain, pengurus Arsenal itu memuji sikap pemain itu.

"Tahap tumpuannya di atas padang semakin tajam, dia beraksi dengan penuh bersemangat dan bekerja keras dalam sesi latihan," kata Wenger. "Segala-galanya dapat dilihat di atas padang."

Wenger turut memuji bintang-bintang lain, dengan Carl Jenkinson turut menyerlah selepas kembali bersama pasukan selepas dua musim dipinjamkan ke West Ham.

"Saya gembira dapat menyaksikan Carl beraksi bersama kami. Dia bermain dengan baik dan tidak memiliki sebarang masalah kecergasan, ini menunjukkan dia telah melakukan persiapan dengan rapi.

"Selain mereka, saya berasakan Rob Holding, Ainsley Maitland-Niles dan Jeff Reine-Adelaide telah menggunakan peluang untuk bermain dengan baik dalam perlawanan ini."