Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, menafikan khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan pasukan gergasi Itali, AC Milan.

Pengurus berusia 69 tahun itu tidak terlibat dalam sebarang perlawanan kompetitif sebaik meninggalkan Arsenal selepas berkhidmat untuk tempoh 22 tahun, penghujung musim lalu.

Beliau dikaitkan dengan jawatan tertinggi Rossoneri selepas Gennaro Gattusso gagal membuahkan aksi meyakinkan dalam saingan Serie A musim ini.

Wenger, bagaimanapun, menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan kepada beIN Sports: "Ia adalah berita palsu.

"Saya tidak mampu mengawal khabar angin. Saya hanya mampu mengawal apa yang saya lakukan."

Wenger sebelum ini memaklumkan bahawa beliau hanya akan kembali ke bidang kejurulatihan bermula awal tahun depan, namun tidak mendedahkan destinasi yang bakal ditujuinya.

"Saya mungkin akan kembali pada awal 2019.

"Buat masa ini, saya hanya mahu berehat dan menikmati setiap perlawanan bola sepak yang saya saksikan.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, adalah lebih baik untuk tidak kembali ke England.

"Saya menghabiskan terlalu banyak masa bersama sebuah pasukan dan untuk bersama pasukan lain di sana sudah pasti akan memberikan perasaan janggal," tambahnya.