Wenger kagum sumbangan Nketiah

Oleh Penulis Jemputan 25 Oktober 2017 1022
Wenger kagum sumbangan Nketiah
ARSENAL 2 NORWICH CITY 1

Arsene Wenger memuji sumbangan pemain berusia 18 tahun, Eddie Nketiah, yang masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan dua gol ketika Arsenal meraih kemenangan 2-1 ke atas Norwich City dalam Piala EFL di Stadium Emirates, awal pagi tadi, dan mara ke suku akhir.


Nketiah diturunkan pada minit ke-85 dalam usaha Arsenal memburu gol penyamaan selepas Josh Murphy meletakkan Norwich di depan dalam separuh pertama.

Pemain muda itu memberi kesan serta-merta dengan sentuhan pertamanya bagi membawa perlawanan ke masa tambahan.

Dia kemudian menjadi tumpuan pada minit ke-96 selepas melakukan tandukan menarik daripada sepakan penjuru Mohamed Elneny untuk memastikan pasukannya berada dalam pusingan seterusnya.

"Dia mempamerkan aksi hebat dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol dan itulah kualiti yang tidak boleh diajar pada usianya," kata Wenger.

"Saya suka gol kedua yang dia jaringkan kerana dia tidak tinggi tetapi dapat melakukan jaringan -- ia menunjukkan bahawa dia seorang pemain yang mahukannya."

Wenger membuat 11 perubahan daripada skuad yang mengalahkan Everton 5-2 pada hujung minggu lalu dan mengatakan keputusannya untuk tidak menamakan mana-mana pemain senior di bangku simpanan adalah satu tindakan yang disengajakan bagi memberi peluang kepada pemain muda.

"Ini adalah pertandingan pada setiap tahun di mana kami memutuskan untuk mendidik pemain muda yang mempunyai potensi baik," katanya.

"Adalah baik hanya mempunyai pemain muda di bangku simpanan kerana jika anda mempunyai pemain berpengalaman, anda akan gunakan mereka -- mempunyai penyerang muda di bangku simpanan bagus untuk kami," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen