Wenger cuba gerunkan Norwich

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2017 449
Wenger cuba gerunkan Norwich
Bos Arsenal, Arsene Wenger, bersedia untuk memburu kejuaraan Piala EFL bersama pemain senior ketika dia sukar membuat pilihan menjelang aksi menentang Norwich City dalam pusingan 16 di Stadium Emirates, esok.

Skuad The Gunners kembali kepada rentak kemenangan dengan mengalahkan Everton 5-2 dalam Liga Perdana, kelmarin -- satu keputusan yang menyaksikan Ronald Koeman kehilangan tugasnya di Goodison Park.

Alexandre Lacazette, Mesut Ozil dan Alexis Sanchez memulakan perlawanan dan semuanya merekodkan jaringan, membuatkan Wenger berasa kagum dengan bakat penyerang yang dimilikinya.

Pengurus veteran berkenaan sebelum ini menggunakan Piala EFL sebagai pendedahan buat pemain muda tetapi dengan memiliki pilihan penyerang yang cergas sepenuhnya memberi maksud skuad Liga Kejuaraan, Norwich, harus bersedia menghadapi barisan kuat Arsenal.

"Itulah 'kemewahan' saya ada pada masa ini dan juga 'kesukaran' saya," kata Wenger kepada laman web rasmi Arsenal. "Semua pemain ini bermain dengan baik dan layak bermain.

"Mujur kami mempunyai perlawanan yang penting setiap minggu, jadi saya boleh memberi persaingan kepada semua. Kami mempunyai banyak pilihan penyerang di bangku simpanan," katanya.

Pemain muda Arsenal diturunkan dalam final 2007 dan 2011 ketika mereka masing-masing tewas kepada Chelsea dan Birmingham City, namun Wenger menegaskan ia akan berbeza kali ini.

"Saya selalu menggunakan (Piala EFL) untuk memberi peluang kepada pemain muda. Kami pergi ke final dengan pasukan yang sangat muda dan hampir memenanginya," katanya.

"Saya sentiasa fokus untuk memenangi trofi dalam Liga Perdana dan Piala FA , dan sentiasa menggunakan Piala Liga sebagai pendidikan untuk pemain muda kami.

"Tetapi dengan pasukan ini, saya mempunyai skuad untuk pergi lebih jauh, nanti kita lihat. Fokus untuk memenangi perlawanan menentang Norwich dan kemudian kami akan lihat ke mana kami akan pergi," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen