Arsene Wenger yakin penyerang Arsenal, Danny Welbeck, akan berjaya menarik perhatian pengurus England, Gareth Southgate, untuk ke Piala Dunia 2018 sekiranya dia kekal cergas.

Bekas penyerang Manchester United itu kerap mengalami masalah kecederaan panjang sejak 30 bulan lalu, menyebabkan dia hanya melakukan 33 penampilan dalam liga sejak musim 2015/16.

Enam daripadanya adalah musim ini dan Welbeck mencatat tiga jaringan walaupun dia terpaksa menanggung kesakitan akibat kecederaan paha.

Southgate tampak hanya akan memilih memain yang kerap beraksi dan perkara itu dibuktikan apabila tidak menyenaraikan rakan sepasukan Welbeck, Jack Wilshere, ketika aksi persahabatan menentang Jerman dan Brazil, namun Wenger mempunyai pandangan tersendiri.

"Bagi saya, dia adalah seorang penyerang berkualiti tinggi," ujar Wenger kepada wartawan menjelang perlawanan Liga Europa menentang Cologne.

"Dia adalah seorang pemain berpasukan, penyerang bertaraf dunia dan disukai oleh semua pemain dalam pasukan.

"Jika dia cergas, dia pasti akan ke Piala Dunia 2018. Saya yakin," kata Wenger.

Welbeck dijangka membarisi skuad dalam kunjungan ke Jerman, namun Wenger menegaskan dirinya akan membariskan senarai terkuat yang dimiliki Gunners.

"Kemenangan dalam pertemuan setempat London ke atas Spurs telah menaikkan keyakinan kami tetapi ia sudah berlalu. Kami fokus untuk meletakkan diri di kedudukan teratas kumpulan." ujarnya.