Weigl buka akaun gol bersama Dortmund dengan bergaya

Oleh Dom Farrell 18 Oktober 2016 1
Weigl buka akaun gol bersama Dortmund dengan bergaya
SPORTING CP 1 DORTMUND 2

Julian Weigl kebingungan apabila gol sulungnya buat Borussia Dortmund terbukti cukup penting dalam kemenangan 2-1 mereka ke atas Sporting CP dalam aksi Kumpulan F, Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. 

Pierre-Emerick Aubameyang menyumbat gol ketiganya dalam saingan Eropah musim ini tatkala pasukan kendalian Thomas Tuchel itu menyerlah dalam babak pertama perlawanan yang berlangsung di Estadio Jose Alvalade -- dengan gol menakjubkan dan tidak dijangka daripada Weigl. 

"Saya tidak tahu apa yang saya lakukan," kata pemain tengah Jerman itu yang belum pernah menjaringkan sebarang gol di peringkat senior, sebelum dia melepaskan rembatan dari jarak 25 ela itu pada minit ke-43. 

"Ia berlaku daripada gerak hati. Saya gembira ia akhirnya berjaya."

Pemain gantian, Bruno Cesar, mengikat kedudukan sehingga memaksa Tuchel merombak tiga daripada empat pemain pertahanannya dalam perlawanan tersebut. 

Begitupun, bos Dortmund itu masih sempat berseloroh mengenai sumbangan jaringan Weigl. 

"Saya hanya mengingati satu gol jaringannya," katanya. "Ia berlaku dalam sesi latihan sebelum perlawanan menentang PAOK (perlawanan Liga Europa musim lalu)."

"Ia sungguh seronok dan kami mempunyai rakamannya."

Dortmund menghadapi perlawanan ini dengan prestasi tidak menentu dalam Bundesliga sejak akhir-akhir ini, dan Tuchel turut gembira dengan penampilan yang dibuat Marc Bartra, Matthias Ginter dan Felix Passlack.

"Empat pertahanan kami selepas 70 minit adalah unik," katanya. "Kami masih begitu muda dan mentah. 

"Kami bermain baik pada separuh masa pertama, sangat ampuh dan efektif. 

"Selepas waktu rehat, kami agak bergelut pada awal 15 minit kerana kehilangan rentak. Ketika kami mengawal permainan, kami membuat dua kesilapan yang boleh melepaskan gol kepada pihak lawan. 

"Kami mahukan kemenangan dan memberikan aksi lebih baik untuk itu. Dalam separuh masa kedua, kami agak bernasib baik dan kami sememangnya berhak untuk menang di sini."
 

Tentang Penulis

Dom Farrell

Komen