Banyak perkara perlu di ambil kira, kata ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, sebaik ditanya sama ada pemain Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal, akan kembali menyertai kem latihan pusat kedua bulan depan atau tidak.

Jika akademi St Louis memberi perlepasan jangka panjang buat pemain itu, ia adalah berita baik buat skuad negara.

Atas dasar keperluan Wan Kuzri bersama pasukan, Maloney memilih untuk mengadakan perbincangan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, barisan kejurulatihan skuad negara yakin pemain itu dapat memperkuatkan Malaysia dalam Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, November depan.

"Kami akan mencuba untuk memendekkan masa perjalanan dan tempoh kuarantin, jadi kami akan bekerjasama dengannya (Wan Kuzri), keluarga dan kelabnya untuk mencari jalan penyelesaian terbaik untuknya," kata Maloney kepada Nadi Arena.

Sekiranya Wan Kuzri tidak dipanggil dalam kem latihan kedua itu, ia bukan disebabkan prestasinya di atas padang tetapi lebih terarah kepada kesukaran perjalanannya dari AS ke Kuala Lumpur, yang mengambil masa lebih daripada 30 jam, selain prosedur kuarantin selama 14 hari sebaik tiba di tanah air.

"Saya perlu berbincang dengannya kerana dalam perancangan awal, dia berkemungkinan akan kembali ke kelabnya tetapi ketika ini, ada perkara yang perlu dipertimbangkan seperti prosedur kuarantin dan keadaan COVID-19.

"Minggu ini, saya akan berbincang dengannya untuk mencari jalan terbaik berdasarkan situasi sekarang," tambahnya.