Pemain berpengkalan di Amerika Syarilkat, Wan Kuzri Wan Kamal akan buat kemunculan kali pertama bersama skuad B-19 negara Rabu ini, selepas 14 hari melewati proses kuarantin.

Wan Kuzri, yang merupakan adik kepada Wan Kuzain Wan Kamal, yang meraih pengalaman bersama Akademi Bolasepak St Louis di Amerika Syarikat telah selesai menjalani proses kuarantin selama 14 hari dan bakal menyertai skuad kendalian Brad Maloney bagi menghadapi saingan Kejohanan AFC B-19 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

"Kuzri dijangka melaporkan diri Rabu ini selepas tamat tempoh kuarantin. Kami tidak sabar untuk menyaksikan dia beraksi bersama pasukan dan kembali berlatih selepas dikuarantin selama 14 hari. Saya berasakan Kuzri akan beraksi dengan cemerlang," kata Maloney yang ditemubual oleh wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

Maloney turut menjelaskan bahawa dia mengikuti perkembangan Kuzri semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19 sejak Mac lalu serta menyatakan pemain itu telah menjalani latihan kecergasan yang ditetapkan bagi memastikan dia kekal bersedia untuk beraksi apabila dipanggil.

"Saya melihat di luar kawalan namun saya telah berhubung dengan Kuzri dari semasa ke semasa bagi mengetahui perkembangan tahap kecergasan dan dia juga mengikuti program yang telah ditetapkan bagi memastikan dia dapat terus memasuki pasukan untuk beraksi nanti."