Wan Kuzri aset penting skuad B-19 -- Maloney

Oleh Ammar Hakim 20 Ogos 2020 1776
Wan Kuzri aset penting skuad B-19 -- Maloney
Meskipun bersikap pendiam di atas padang, pengendali skuad B-19 negara, Brad Maloney, percaya Wan Kuzri Wan Kamal, mampu memberikan impak berlainan dengan menegaskan pemain berpangkalan di Amerika Syarikat itu sebagai aset penting pasukannya.

Wan Kuzri diberi kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama skuad B-19 negara dalam perlawanan persahabatan menentang Selangor II semalam.

Bergandingan dengan Shafi Azswad Sapari di bahagian tengah, pemain Akademi St Louis itu gagal membentuk keserasian dan persefahaman bersama pemain lain.

Kurang berkomunikasi di atas padang, karakter Wan Kuzri menimbulkan persoalan.

"Dia seorang pemain yang berbakat, bagus dalam menghantar bola, etika kerja yang bagus, sikap yang bagus dalam permainan, beliau tentunya satu aset penting kepada pasukan," kata Maloney.

"Kami masih lagi berusaha untuk mendapatkan keserasian, komunikasi di atas padang bersama pemain adalah sesuatu yang perlu diperbaiki, kami akan cuba untuk membantunya."

"Terdapat terlalu banyak perhatian pada saya, tentunya anda boleh lihat itu sebagai satu tekanan, tetapi saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya, jadi saya akan cuba laluinya dari sehari ke sehari," kata Wan Kuzri.

Dalam pertemuan ini, skuad B-19 negara tewas 4-0 untuk kekalahan kedua berturut-turut selepas dibelasah PJ City 6-1.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen