Pemain muda berdarah Malaysia yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal, bersikap terbuka jika pada satu hari nanti dipanggil Malaysia baik untuk pasukan senior mahupun remaja.

Pemain berusia 19 tahun itu yang memegang kerakyatan AS sedang beraksi bersama kelab Sporting Kansas City, iaitu Swope Park Rangers.

Walaupun pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia, perasaannya terhadap negara ini masih menebal, tambahan pula kedua-dua ibu bapanya berasal dari sini.

Faktor itu membuatkan Wan Kuzain tidak berdepan masalah jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempelawanya menyarung jersi Harimau Malaya pada masa akan datang.

"Saya berminat terhadap kedua-dua pasukan. Ia satu penghormatan berpeluang untuk menyarung (jersi) di antara kedua-duanya. Apabila tiba masanya untuk membuat keputusan, saya akan memikirkannya masak-masak dengan mengambil kira faktor masa, usaha, keluarga dan rakan-rakan.

"Ia pasti bukan keputusan mudah untuk dibuat," kata pemain tengah itu.

Mengenai impiannya, Wan Kuzain tetap berhajat bermain di Eropah pada masa depan meskipun impiannya sebelum ini mahu beraksi di kelab Belanda, Feyenoord, tidak kesampaian.

"Pemain-pemain muda selalunya berminat untuk ke Eropah dengan menyertai Arsenal, Barcelona atau Paris Saint-Germain (PSG). Ia hasil daripada kerja keras dan kegigihan, saya bersedia berhijrah untuk menempuhi kemasyhuran dalam Liga Juara-Juara mahupun menjejak kaki di stadium hebat.

"Buat masa ini, saya perlu memberi tumpuan kepada Kansas City dan fokus dalam pemburuan gelaran," tambahnya.