Penantian untuk melihat pemain muda yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Khuzri Wan Kamal, untuk turun berlatih bersama skuad B-19 tahun negara masih belum berakhir.

Kehadirannya terpaksa ditunda sehari lagi tatkala perlu menjalani ujian saringan COVID-19 kedua selepas tamat tempoh kurantin selama 14 hari.

Perkara itu dimaklumkan oleh pengurus pasukan itu, Datuk Kamarul Ariffin, yang turut menngesahkan bahawa pemain itu sedang berada di tahap terbaik ketika ini.

"Saya ingin mengumumkan bahawa esok, Wan Khuzri akan bersama kami selepas menjalani tempoh kuarantin," katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih, Brad Maloney, gembira dengan permulaan positif yang dipamerkan anak buahnya dalam membentuk keserasian dalam latihan dengan sentuhan pertama hari ini.

Maloney turut bercadang untuk mengadakan satu perlawanan persahabatan dalam masa terdekat.

"Terdapat persaingan untuk merebut tempat kerana tiga atau empat pemain akan merebut satu tempat dalam pasukan.

"Dengan itu, saya dapat lihat pemain bersedia untuk bersaing dengan memberikan sesuatu yang lebih, datang awal ke sesi latihan dan melakukan persediaan.

"Saya dapat lihat dedikasi daripada pemain dan mereka amat profesional," katanya.