Gareth Bale menggesa Chris Coleman agar kekal sebagai pengurus Wales di sebalik kegagalan layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2018.

Bintang Real Madrid itu hanya menjadi penonton dalam aksi terakhir di Cardiff dengan gol tunggal James McClean membantu Republik Ireland merampas slot play-off daripada mereka.

Ini bermakna Coleman, Bale dan rakan-rakan tidak berpeluang untuk mengulangi pencapaian menakjubkan mereka ketika mara ke separuh akhir Euro 2016.

Sejurus selesai perlawanan itu, Coleman memberitahu dia tidak dapat membuat keputusan mengenai masa depannya, namun Bale berharap jurulatih berumur 47 tahun itu memperbaharui kontraknya yang akan berakhir bulan depan.

"Sudah tentu kami mahu dia kekal," katanya kepada pemberita.

"Apa yang dilakukannya ke atas pasukan ini dan bola sepak Wales sangat mengagumkan.

"Dia memikul jawatan itu dalam tempoh sukar dan sejak itu pencapaian kami sangat hebat.

"Kami tidak mahu terus bersandarkan kepada kempen Euro sahaja, kami semua mahu mengulanginya.

"Semua ini bukan mudah tetapi Chris menjadikan kami terus fokus dan positif serta memimpin kami bagaimana untuk melakukannya," katanya lagi.