Gareth Bale menegaskan Wales masih berada di landasan tepat untuk mara ke Piala Dunia 2018 meskipun melakar keputusan seri 1-1 dengan Serbia di Cardiff.

Wales hampir mengesahkan kemenangan selepas mendahului 1-0 hasil jaringan pemain sayap Real Madrid itu pada minit ke-30 sebelum jaringan minit akhir oleh Aleksandar Mitrovic menafikan tiga mata buat skuad kendalian Chris Coleman.

Bale, bagaimanapun, percaya Wales masih berpeluang untuk mara ke Russia 2018 selepas berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Euro 2016 sebelum ini.

"Kami kecewa ketika ini, kami bermain dengan baik pada babak pertama tapi memasuki separuh masa kedua, momentum kami mula hilang," katanya kepada Sky Sports.

"Kami hampir meledak gol kedua, namun perkara seperti ini sering kali berlaku dan akhirnya kami dihukum dengan jaringan penyamaan.

"Meskipun kehilangan tiga mata berharga, kami masih mengutip satu mata. Jadi, kami perlu bekerja lebih keras selepas ini."