Jurulatih Austria, Marcel Koller, berkata Wales 'bernasib baik' ketika mara ke separuh akhir Euro 2016.

Skuad kendalian Chris Coleman mara ke separuh akhir dengan menewaskan Belgium 3-1 sebelum tewas kepada Portugal 2-0.

Namun, nasib nyata berbeza buat Koller, yang menyaksikan skuadnya kecundang dalam pusingan kumpulan tanpa menempah sebarang kemenangan.

Berdepan Wales dalam aksi kelayakan Piala Dunia, Koller menyifatkan perlawanan ini sebagai satu peluang buat anak buahnya meraih tiga mata penuh.

"Kami tidak akan mengubah sebarang strategi kami. Ada kalanya anda memerlukan tuah untuk menang. Itu merupakan perkara yang telah kami saksikan di Euro 2016 -- Wales bernasib baik," katanya.

Koller turut mendedahkan Gareth Bale bakal menjadi pemain tumpuan di Vienna.

"Kami telah menyaksikan kebolehannya di Euro, dia mampu membantu pasukannya memenangi perlawanan.

"Kami akan cuba mengekang kemaraan Bale kerana pemain Real Madrid itu merupakan ancaman utama buat Austria."

Wales dan Austria telah memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dengan kemenangan ke atas lawan masing-masing, iaitu Moldova dan Georgia.