Pemain sayap Arsenal, Theo Walcott, bertekad meneruskan prestasi terbaiknya ketika ini bersama England.

Pemain berusia 27 tahun itu bergelut untuk membuat penampilan secara konsisten di peringkat kelab dan negara dalam tempoh beberapa tahun ini apabila hanya beberapa kali beraksi di bawah kendalian Roy Hodgson sebelum tidak disenaraikan ke Euro 2016, Jun lalu.

Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa bulan musim ini, Walcott telah mengesahkan tempatnya selaku pemain utama di posisi sayap kanan The Gunners apabila telah meledak lima gol setakat ini.

Kecemerlangan itu menyebabkan pengendali sementara England, Gareth Southgate, mahukan bekas pemain remaja Southampton itu kembali bersama The Three Lions.

Dia turut dijangka turun dalam kesebelasan utama pasukan berdepan Malta pada Sabtu.

"Saya tidak mahu saat ini berlalu begitu sahaja," katanya dalam sidang media. "Saya telah bekerja keras dan saya mahu menjadi lebih hebat daripada pihak lawan.

"Saya sudah bersedia dengan perlawanan ini selepas menjalani latihan yang baik minggu ini.

"Saya mahu meneruskan prestasi saya dengan bantuan rakan sepasukan yang lain."

Pada masa sama, Walcott mahu dia dan rakan sepasukan lain kembali menyuntik keyakinan penyokong England susulan pemecatan Sam Allardyce selepas hanya 67 hari mengendalikan pasukan itu.

"Sokongan yang diberikan kepada kami di Wembley akan membuktikan berapa ramai pihak yang masih beri kepercayaan terhadap pasukan ini," tambahnya.

"Kami mahu penduduk England kembali menikmati bola sepak negara ini kerana Liga Perdana Inggeris merupakan yang terbaik di dunia."