Waktu Usain Bolt bersama Central Coast Mariners tamat sebaik bintang Olimpik itu tidak bersetuju dengan perjanjian yang ditawarkan pasukan Liga Australia itu.

Bolt, 32, tiba ke Gosford, Ogos lalu dalam usaha mendapatkan kontrak pertama selaku pemain bola sepak profesional.

Pemenang lapan pingat emas Sukan Olimpik itu tidak berlatih bersama Mariners sejak hujung bulan lalu, dengan kedua-dua pihak dalam usaha memeterai persetujuan yang turut melibatkan pihak luar.

Mariners mengesahkan bahawa waktu Bolt bersama kelab tersebut telah tamat malam tadi.

"Saya mahu berterima kasih kepada pemilik, pengurusan, pemain dan penyokong Central Coast Mariners kerana memberikan layanan yang baik terhadap saya sepanjang berada di sana.

"Saya mendoakan semoga mereka terus berjaya di masa akan datang," kata Bolt dalam satu kenyataan.

Pemilik Mariners, Mike Charlesworth, turut berterima kasih kepada Bolt yang menjaringkan dua gol dalam penampilan pertamanya ketika aksi persahabatan, bulan lalu.

"Di sebalik tiada persetujuan di antara kami dan Usain Bolt, kami gembira kerana jaguh Olimpik serta pemegang rekod dunia itu menjadi sebahagian daripada kami sepanjang lapan minggu lalu.

"Mariners berbesar hati dapat berkerjasama dengan Usain yang sedang mengejar impiannya untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

"Ia sesuatu yang baik buat Mariners dan Liga-A.

"Sejak hari pertama, Usain telah memberikan dedikasi yang tinggi sebagai sebahagian daripada kami.

"Paling diingati sudah pasti adalah dua jaringan yang dihasilkannya ketika membantu kemenangan 4-0 kami ke atas Macarthur South West United.

"Kami mengucapkan selamat maju jaya kepadanya dan berharap dapat terus bekerjasama di masa akan datang," katanya.

Mariners memulakan Liga-A menerusi dua keputusan seri ketika menentang Brisbane Roar dan Melbourne City.