Atletico Madrid mengesahkan telah bersetuju dengan perjanjian untuk melepaskan Sime Vrslajko ke Inter Milan secara pinjaman.

Pertahanan kanan itu akan ke Itali menerusi tiket pinjaman setahun tetapi dengan pilihan untuk melengkapkan perpindahan secara tetap buat pemain berusia 26 tahun itu.

Sebagai pengganti, Atletico telah mendapatkan persetujuan PSV Eindhoven untuk membawa masuk Santiago Arias melalui kontrak selama lima tahun.

Vrslajko beraksi dalam enam perlawanan buat Croatia dalam laluan yang mengejutkan ketika Piala Dunia 2018 walaupun pasukan bimbingan Zlatko Dalic itu ditewaskan Perancis 4-2 di pentas final.

Bekas pemain Sassuolo itu akan ke San Siro sebaik sahaja melengkapkan pemeriksaan kesihatan dan menyempurkan terma bersama kelab.

Vrsaljko melakukan 54 penampilan bersama Atletico sejak berhijrah ke Sepanyol pada 2016, dengan memenangi Liga Europa pada musim lalu sementara pemain Colombia yang juga berusia 26 tahun, Arias, akan bersaing dengan Juanfran untuk posisi bek kanan selepas melengkapkan urusan ke Wanda Metropolitano.

Napoli sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan bernilai EUR11 juta (RM52 juta) buat Arias yang telah memenangi tiga kejuaraan Eredivisie bersama PSV.