Pengendali kebangsaan, Nelo Vingada, tidak akan memanggil pengganti bagi penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri, dan pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih, yang tidak akan bersama skuad Harimau Malaya berdepan Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019, Selasa depan.

Hazwan terpaksa digugurkan kerana kecederaan pangkal paha manakala Vingada memberi pelepasan kepada Nor Azam atas urusan peribadi membabitkan kesihatan ahli keluarganya.

Memandangkan waktu kian suntuk sebelum skuad negara berlepas ke Hong Kong, jurulatih dari Portugal itu memutuskan untuk tidak akan membuat sebarang penggantian pemain.

"Apa yang berlaku ini bukan sesuatu yang normal. Saya masih mempunyai 22 pemain dan mereka semua boleh diturunkan.

"Saya percaya kami mempunyai penyelesaian terbaik jika diberi tempoh yang lebih lama," ujarnya.

Tanpa Ahmad Hazwan, Vingada kini hanya mempunyai Darren Lok dan penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri Fauzi, sebagai pilihan selaku penyerang.

Namun, jurulatih itu tidak gusar dan tetap percaya mampu membentuk gandingan terbaik untuk menangani Hong Kong.

"Darren Lok dan Shahrel merupakan pilihan yang bagus di bahagian serangan.

"Saya mempunyai dua pemain untuk merebut setiap posisi sayap. Mungkin kami akan menampilkan aksi berbeza ketika berdepan Hong Kong.

"Kami saling mengetahui corak permainan masing-masing, mungkin saya akan membuat rombakan untuk memberi mereka kejutan."

Senarai penuh pemain:

Baddrol Bakhtiar
Syazwan Zainon
Khairul Helmi Johari
Akram Mahinan
Fitri Omar
Safiq Rahim
Amirulhadi Zainal
Darren Lok
Nazmi Faiz Mansor
Safawi Rasid
Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy
Shahrom Abdul Kalam
Nazirul Naim Che Hashim
Amirul Azhan Aznan
Kiko Insa
Matthew Davies
Khairulazhan Khalid
Adam Nor Azlin
Wan Zack Haikal Wan Nor
Shahrel Fikri Md Fauzi
Syamer Kutty Abba