Ketua jurulatih skuad kebangsaan dari Portugal, Nelo Vingada, tidak bimbang mengenai kemungkinan akan dipecat susulan keputusan buruk kekalahan 4-1 kepada Korea Utara dalam pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019, malam tadi, dan secara tidak langsung meletakkan masa depannya kini dalam keadaan tidak menentu.

Sejak membimbing Harimau Malaya, Jun lalu, sentuhan Vingada dalam enam perlawanan berkesudahan tanpa sebarang kemenangan serta berada di tempat tercorot Kumpulan B berbekalkan hanya satu mata -- situasi yang sudah cukup menggambarkan betapa tenatnya skuad negara ketika ini.

Biarpun mendapat jolokan Profesor, Vingada dilihat seperti sudah kekeringan idea untuk mengubah nasib pasukan yang seperti mati akal dalam setiap aksi di pentas antarabangsa.

Vingada jujur menerima hakikat mengenai persoalan berkisarkan masa depannya tetapi enggan memikirkan kemungkinan itu kerana selagi diberi peluang, dia mahu terus berjuang untuk memastikan skuad negara kembali bangkit.

"Saya tidak khuatir. Kalau saya dipecat esok, sudah tentu saya akan berasa kecewa. Tetapi, saya percaya mampu melakukan sesuatu untuk skuad kebangsaan (Malaysia), sebagaimana yang pernah saya lakukan di negara-negara yang dibimbing saya sebelum ini.

"Saya tidak bimbang kehilangan jawatan kerana ia sebahagian daripada 'permainan' ini.

"Perkara seperti ini pernah dibangkitkan, saya boleh pergi dengan rasa bangga, begitu juga pemain," katanya.

Kekuatan fizikal yang dimiliki sebahagian besar pemain Korea Utara adalah antara rumusan kekalahan skuad negara selain kesilapan pertahanan sendiri.

Menurutnya lagi, "Kami melakukan kesilapan kritikal. Kami melepaskan dua gol menerusi kekasaran yang tidak sepatutnya."

Sementara itu, jurulatih Korea Utara, Jorn Andersen, menganggap mereka berhak menang perlawanan itu selepas mempamerkan aksi yang jauh lebih baik berbanding pasukan negara.

Malah, dia tidak melihat jaringan pertama yang diraih melalui sepakan penalti pada awal separuh masa pertama sebagai faktor utama kejayaan mereka.

"Adalah sentiasa penting menyumbat gol pertama, namun pada hari ini (malam tadi), ia tidak begitu penting.

"Kita boleh lihat pasukan manakah yang mempamerkan aksi terbaik, mahu bermain bola sepak dan menyerang. Ia adalah Korea Utara, " katanya yang meraih kemenangan sulung Korea pada tahun ini sambil melaungkan keyakinan untuk memburu satu lagi kejayaan dalam pertemuan timbal balik, dua hari lagi.

"Kami mahu meraih satu lagi kemenangan selepas sekian lama tidak merakamkan sebarang kejayaan. Kemenangan ini menyuntik keyakinan kami. Kami menampilkan aksi menarik dalam beberapa perlawanan lalu namun kalah, kebiasaannya kami adalah pasukan yang bagus," katanya lagi.