Jurulatih skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada, mengakui tidak berdepan masalah mengenai perlawanan menentang Korea Utara dalam kelayakan Piala Asia 2019 di Pyongyang yang sekali lagi ditunda.

Vingada memutuskan senarai 24 pemain minggu lalu sebelum mengumumkan perkara itu pada Isnin bagi menghadapi menghadapi Korea Utara di Stadium Kim Il-sung pada 5 Oktober dan Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 10 Oktober.

Menurutnya, pemilihan beberapa pemain tertentu dibuat adalah berdasarkan faktor skuad negara yang perlu beraksi dua perlawanan dalam tempoh dekat.

Namun, situasi sebaliknya berlaku apabila pertemuan dengan Korea Utara ditunda ke tarikh lain susulan larangan perjalanan rakyat Malaysia ke Korea Utara yang berkuat kuasa serta-merta hari ini.

"Rancangan kami adalah untuk dua perlawanan. Kini situasi adalah fokus hanya untuk satu perlawanan. Saya perlu pragmatik, kalau perlu menentang Korea Utara di Hong Kong, kami harus bersedia.

"Kini, hanya fokus satu perlawanan menentang Hong Kong, tiada masalah," katanya.

Sehubungan itu, Vingada juga memutuskan kem latihan pusat skuad negara dipinda dari Sabtu ini ke minggu depan selain turut menukar venue latihan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

"Kami kini menggunakan pelan B. Dalam jadual sebelum ini, selepas perlawanan (menentang Korea Utara) kami terus ke Hong Kong tetapi rancangan itu dibatalkan.

"Jadi selepas ini, kami akan ke Hong Kong pada 6 Oktober," tambahnya.

Selepas beraksi dalam dua perlawanan, Malaysia kini di tangga tercorot tetapi masih boleh memintas Korea Utara dan Hong Kong jika skuad negara mampu mencatat keputusan cemerlang dalam aksi selepas ini.