Jurulatih pasukan negara, Nelo Vingada, tetap mempertahankan keputusannya tidak memanggil penyerang tambahan sehingga tumpas 0-2 di tangan Hong Kong dalam Kumpulan B, kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, semalam.

Jurulatih kelahiran Portugal itu menggunakan formasi 4-6-0 selepas penyerang tulen tunggal, Darren Lok, tidak cukup cergas memulakan perlawanan dan hanya masuk pada babak kedua.

Vingada sebenarnya mempunyai pilihan untuk memanggil penyerang berpengalaman seperti Safee Sali dan Amri Yahyah, selepas Shareel Fikri Mohd Fauzi dan Ahmad Hazwan Bakri digugurkan kerana kecederaan.

Bagaimanapun, ini penjelasan Vingada: "Saya mengetahui bahawa Amri masih beraksi baik bersama Selangor tetapi kami memiliki beberapa pemain yang telah dipilih untuk perlawanan ini.

"Penyerang lain seperti Safee Sali juga mampu beraksi dalam skuad kebangsaan tetapi dia baru sahaja pulih daripada kecederaan."

Bagi Vingada, keputusan perlawanan mungkin berbeza seandainya skuad negara menamatkan perlawanan dengan 11 pemain.

Bagaimanapun, jurulatih itu tetap menerima keputusan pengadil dari Sri Lanka, Nivon Robesh Gamini, yang melayangkan kad merah kepada Safiq Rahim pada hujung separuh masa pertama.

Sementara itu, jurulatih Hong Kong, Kim Pan Gon, berasa skuad negara lebih ampuh ketika aksi kelayakan di Melaka, 5 September lalu, tetapi menyifatkan pasukannya lebih bersedia menghadapi Malaysia, semalam.

"Perlawanan di Malaysia agak sukar kerana kami tidak bersedia, kami tidak membuat persediaan rapi.

"Tetapi perlawanan di laman sendiri, kecergasan kami lebih baik berbanding bermain di Malaysia," katanya.